|
SEKITAR jalan raya berdekatan Klinik 1Malaysia Jalan Pantai, Batu 3, Jalan Pantai, Seremban, Negeri Sembilan kabur dek asap dari dua buah alat pemanggang sate di sebuah gerai berbumbungkan khemah kanvas biru.
Setiap hari, suasana di situ meriah seawal pukul 6 petang hingga 12 tengah malam kecuali pada hari Selasa kerana gerai Sate Ayang Pantai itu ditutup pada hari tersebut.
Sebaik melalui Jalan Jelebu atau lebih popular sebagai Jalan Pantai oleh masyarakat tempatan, anak mata tidak akan terlepas meleret menyaksikan deretan kereta yang diletakkan di bahu jalan seolah-olah ada pesta sedang berlangsung. Sementelah aroma rempah satenya yang enak dapat dihidu ketika melepasi kawasan tersebut.
Bagi mereka yang pertama kali singgah di gerai sate yang terletak kira-kira 2 kilometer (km) dari plaza tol Ampangan, Lebuhraya Lekas arah Seremban itu pasti tertarik dengan hidangan yang disediakan.
"Kami bukan sahaja menyediakan hidangan sate ayam dan sate daging biasa, bahkan ada yang lebih istimewa iaitu sate tulang," ujar pengusaha gerai tersebut, Sharipah Sadiah Khalid, 30, yang menyambut kedatangan kru Jurnal baru-baru ini.
Sate tulang menjadi hidangan signatur di gerai yang diusahakan oleh Sharipah Sadiah yang mesra disapa Ayang bersama suaminya, Yusri Abed, 35, itu. Turut dijual ialah variasi sate lain yang dihidangkan bersama kuah kacang dan nasi himpit.
Jika pertama kali ke situ, ketepikan hajat untuk menempah sate ayam dan daging yang biasa kerana nikmat akan lebih terasa jika menjamah sate tulang ayam terutamanya kepada penggemar bahagian tersebut.
"Kesedapan sate tulang lebih terasa kerana isi ayam dan rempahnya lebih sebati yang melekat di celah-celah tulang. Apatah lagi apabila ia dimakan bersama dengan kuah kacang pekat dan rasanya manis.
"Jika mahu menikmatinya dengan lebih puas, pakailah tangan berbanding makan terus daripada lidinya," ujar seorang pelanggan, Zabidi Ahmad, 32.
Saiznya yang kelihatan berganda berbanding sate ayam biasa turut menarik perhatian penggemar sate apatah lagi apabila dimakan ketika masih panas berasap.
Mengekalkan rasa sate yang segar dan enak sudah tentu memerlukan proses penyediaan yang mencabar manakala penjagaannya perlu diberi perhatian kerana sate tulang ayam lebih sensitif dan dan mudah rosak apabila kerap terdedah.
Demi mengekalkan kesegaran sate tulang tersebut, pasangan suami isteri itu akan mengunjungi Pasar Besar Seremban yang terletak kira-kira 5km dari gerai itu untuk mendapat bekalan bahan mentah pada setiap hari.
"Tulang ayam yang sudah diperap selama sejam akan mula dicucuk pada pukul 11 pagi pada setiap hari. Ini bermakna kesemua sate tulang tersebut perlu dihabiskan setiap hari kerana kualitinya sangat sensitif.
"Oleh kerana daging dan tulang ayam yang masih melekat itu, ia boleh menjadi mudah rosak jika tidak dijaga dengan betul. Jadi kesemua tulang yang sudah diperap itu perlu dihabiskan pada hari itu juga," kata Yusri yang memperoleh idea itu sejak mula membuka gerai tersebut tiga tahun lalu.
Bagaimanapun jelas Yusri, dia tidak menggunakan resipi rahsia untuk penyediaan bahan perapannya yang terdiri daripada serai, jintan, gula, kunyit dan bawang. Tambahnya, resipi itu diperoleh secara turun-temurun daripada ibunya yang menjalankan perniagaan sate semasa zaman kanak-kanaknya.
Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa gerai tersebut sebagai pusat sehenti buat penggemar sate kerana Yusri variasi sate.
Antara jenis sate lain yang dihidangkan termasuklah, sate perut iaitu daripada bahagian perut tembusu atau perut panjang daripada lembu dan kerbau, sate kambing, sate tongkeng, sate rusa, sate mempedal, sate telur puyuh dan sate arnab untuk waktu tertentu.
Menurut Ayang, menu paling popular dan cepat habis yang dihidangkan bersama nasi impit dan kuah kacang itu adalah sate tulang, sate perut dan sate tongkeng.
Seorang ahli perniagaan, Mohd. Zaidi Taib, 43, yang merupakan penggemar daging rusa tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi gerai itu hampir setiap minggu bagi menikmati juadah tersebut.
"Daging rusa memang sukar didapati, tetapi gerai sate ini menyediakannya. Harganya juga berpatutan. Hanya RM1.50 secucuk sate rusa dan isinya besar. Itulah istimewanya gerai ini bermacam-macam jenis sate ada," ujar Mohd. Zaidi.
Hidangan tersebut pula dijual pada harga semurah RM0.60 untuk sate ayam, sate daging (RM0.70), sate tulang (RM1), sate perut (RM1), sate kambing (RM1), sate tongkeng (RM1), sate telur puyuh (RM1).
Antara cabaran bagi pasangan suami isteri dalam menyediakan variasi sate itu adalah cara penyediaan yang berbeza-beza bagi setiap jenis bahan.
"Dalam memerap kesemuanya hampir sama iaitu diperap dari awal pagi untuk dibakar pada waktu petang. Tetapi untuk menyediakan sate telur puyuh, telur yang sudah direbus dan dikupas kulit akan dimasak sekali lagi bersama rempah sate selama 15 ke 20 minit agar ia ia lebih terasa. Tetapi untuk membakarnya hanya memerlukan beberapa minit dan sekadar untuk dipanaskan.
"Berbeza pula dengan cara membakar sate tulang yang mengambil masa yang lebih lama iaitu antara 10 hingga 15 minit kerana strukturnya yang lebih besar dan bertulang. Menjaganya juga sedikit leceh kerana jika tidak dikendali dengan betul ia akan masak tidak sekata.
"Sate perut akan direbus terlebih dulu agar teksturnya menjadi lebih lembut untuk dimakan," kata Yusri yang turut berkhidmat sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang koko berdekatan gerainya.
Menurut Yusri, dia akan menyediakan kira-kira 300 cucuk sate tulang ayam setiap hari di samping 700 cucuk sate ayam dan daging serta sate lain.
Bagaimanapun jumlahnya akan menjadi berganda apabila tibanya hujung minggu yang kadangkala mencapai angka 800 cucuk sate tulang yang terjual.
Yusri bukan sahaja memiliki kepakaran menyediakan bahan untuk memerap sate, bahkan kuah kacang yang dihidangkannya mendapat sentuhan istimewa sehingga menerima tempahan yang luar biasa ketika hari raya.
"Kalau di gerai, saya menyediakan kuah kacang biasa. Tetapi apabila tiba hari raya tidak menang tangan menerima tempahan kuah kacang sahaja. Pada setiap tahun para pelanggan akan menempah kira-kira 200kg kuah kacang.
"Ia menjadi istimewa kerana salah satu bahan membuatnya adalah dengan daging lembu agar rasanya menjadi lebih sedap. Tetapi untuk merasa kena lah tunggu hari raya kerana menu itu disediakan khas untuk waktu tersebut sahaja," kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2GP5Vmg8T